"Tiap-tiap jiwa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan di dunia itu hanyalah kesenangan yang memperdayakan"...(Ali-Imran:185)

اللهم اخثم لنا بحسن الخاثمة ولا ثخثم علينا بسوء الخاثمة

"Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah(akhir yang baik), dan janganlah Kau akhiri kami dengan suu-ul khatimah(akhir yang buruk)"

Friday 11 November 2011

MANISNYA PENGORBANAN...(",)


Pengorbanan. Senang dituturkan mungkin. Tetapi pelaksanaannya sendiri memerlukan pengorbanan. Ya, untuk berkorban, memerlukan pengorbanan. Untuk melakukan pengorbanan, memerlukan kita untuk berkorban.
Payah bukan? Kerana pengorbanan bukan sesuatu yang senang, ramai yang meninggalkannya. Ramai yang menghindarkan diri daripada berkorban. Melainkan orang-orang yang tinggi imannya mampu berkorban dengan sebenar-benar pengorbanan.
Nabi Ibrahim sendiri apabila diperintahkan supaya menyembelih anaknya sendiri (Nabi Ismail), hati merasakan sungguh berat untuk berbuat demikian. Bayangkan seorang anak yang begitu disayangi, perlu disembelih dengan tangan sendiri. Tetapi dengan iman yang tinggi dan keyakinan yang teguh, "ALLAH" diletakkan di tempat yang tertinggi. Sehingga tiada yang layak diutamakan melainkan hanya DIA.
Kerana kepatuhan Nabi Ibrahim dan kesanggupan anaknya Nabi Ismail, Allah memberikan balasan yang sebaiknya buat mereka. Nabi Ismail tidak disembelih, malah digantikan oleh Allah dengan seekor 'kibasy' untuk dikorbankan. Begitulah tingginya keimanan mereka yang membawa hati menjadi ikhlas untuk berkorban.
Pengorbanan yang merentasi rasa sayang ayah kepada seorang anak, demi mendapatkan redha dari Allah yang dicintai. Allahuakbar. Peristiwa inilah di sebalik hari yang kita rayakan iaitu hari raya korban. Sungguh, Allah mahu kita mengambil iktibar dari peristiwa ini. Jangan kita hanya seronok beraya, tetapi tidak mengaut ibrah yang di sebaliknya.
Persoalannya,
Bagaimanakah pula nilai pengorbanan pada kita? Adakah hanya menumbangkan seekor lembu sudah dikira pengorbanan yang sebenar-benarnya? Sangat jauh lagi untuk kita gapai jika hanya itu sekadar pengorbanan yang kita faham.
Dalam konteks kita sendiri. Hamba dengan Pencipta kita sebagai contoh. Apakah terdapat pengorbanan yang kita persembahkan buat Kekasih kita yang telah memberikan kita segala-galanya? Apakah terdapat sesuatu yang kita lakukan tanda kita mencintaiNya? Jom koreksi diri.
Kadang-kadang kita menyatakan cinta. Tetapi perbuatan kita, ucapan kita, jarang sekali memaksudkan apa yang kita katakan. Sedarkah kita? Kita mengaku kita cinta kepada Allah, tapi dalam masa yang sama kita juga lokek dalam memperuntukkan masa kita denganNya. Tak mahu korbankan masa. Takut ketinggalan pula drama di televisyen.
Kita mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, tetapi sangat berkira untuk berkorban dan bersama-sama dalam perjuangan yang diwariskan oleh baginda. Takut jika masa diluangkan untuk menyampaikan dakwah islam, tidak sempat pula nak bersuka ria.
Begitukah kita? Sungguh berbeza hati dan mulut kita. Mulut menuturkan sayang dan cinta, tapi hati tidak rela untuk berkorban deminya. Salahkah kita jika berkorban masa seminit dua untuk berzikir dan meletakkanNya dalam hati kita. Susahkah untuk berkorban tenaga dan masa untuk berdakwah mengajak manusia. Sungguh berkira rupanya kita.
Kesimpulan
Pengorbanan itu tidak akan menjelma melalui diri yang selalu berkira. Berkira untuk sedekah. Berkira untuk beribadah. Berkira untuk berselawat pada Rasulullah. Dan berkira dalam melakukan setiap hal. Tidak akan lahir rasa ingin berkorban jika diri selalu berkira-kira. Lalu apakah nilai pengorbanan pada kita jika kitalah orang yang berkira itu? Tiada. Ya, tiadalah nilai yang dapat kita capai. Orang yang berkira sudah tentu susah dan mungkin sekali tidak mahu langsung berkorban. Jadi, masakan pula orang yang tidak berkorban dapat merasa nilai pengorbanan itu? Tentu tidak, bukan?
Begitulah. Diri kita yang menentukan sejauh mana nilai pengorbanan itu pada diri kita. Semakin tinggi kita berkorban, semakin tinggilah nilai pengorbanan tersebut. Dan begitulah sebaliknya. Untuk permulaan bagi meningkatkan momentum pengorbanan kita, hayatilah kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan sebenar-benar penghayatan. Penghayatan sehingga mampu meningkatkan momentum pengorbanan dalam diri kita untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Dan juga pengaplikasiannya dalam memperjuangkan islam, satu-satunya agama yang Allah redhai.
Semoga dengan sebingkis peringatan ini, kita sama-sama mendapatkan manfaat dan kebaikannya. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...