"Tiap-tiap jiwa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan di dunia itu hanyalah kesenangan yang memperdayakan"...(Ali-Imran:185)

اللهم اخثم لنا بحسن الخاثمة ولا ثخثم علينا بسوء الخاثمة

"Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah(akhir yang baik), dan janganlah Kau akhiri kami dengan suu-ul khatimah(akhir yang buruk)"

Wednesday 2 January 2013

INILAH MAKNA BAHAGIA...

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah..masih diberikan nikmat iman dan islam..
serta kesihatan yang tiada tandingnya oleh Pencipta...
moga diri ini dan saudara seislam sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayangNya..
insya Allah..
Hati ini terpanggil untuk mengisi ruangan yang sudah sekian lama berhabuk..
tiba-tiba hati ini terketuk untuk berkongsi ilmu...
meronta-ronta untuk menyebarkan kepada saudara seislamku..
moga hatiku..hatimu..sama-sama mengecap erti BAHAGIA......amin..


INILAH MAKNA BAHAGIA…

Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

• Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.


Apakah erti bahagia? 
Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.  
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
 Sumber dalaman atau luaran?

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
 Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.

Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
• Bukti hilangnya bahagia.

Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang …
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
• Ujian hidup punca hilang bahagia?

Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
• Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.
KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:
1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)
6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)


7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)
ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, tolong rujuk kembali entri dalam blog ini dalam tajuk: Mencari Ketenangan Hati)
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selalin berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!
Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.
Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.
via Genta Rasa,
ustaz Pahrol Mohd Juoi 

Tuesday 18 September 2012

MENGUASAI SEMPADAN HATI DENGAN ZIKRULLAH

Doa itu adalah zikrullah. Memuliakan sesuatu tanpa memohon izin tuhan sekalian alam bererti kita ini makhluk yang sombong dan bongkak.


Bagaimana tangan mampu dihulurkan jika hatinya enggan menyambut?
Bagaimana kaki boleh berjalan jika hati hanya mahu duduk?
Bagaimana mulut akan berdiam jika jiwanya mahu bertutur?

Tidak mungkin semuanya berlaku jika hati tidak menginginkan ia terjadi..
Kerana hati itu adalah raja bagi seluruh anggota. Justeru, bagaimana mungkin seorang hamba memperturutkan nafsu dan berbuat maksiat jika hatinya ada Allah s.w.t??

Tidak terhasil cinta jika benci dan sayang berantakan di dada. Tidak terbit suatu amalan jitu selagi keyakinan dan keraguan bertingkah di jiwa. Sehinggalah salah satunya memenangi pertempuran. Ketika itu, lahirlah apa yang menguasai jiwanya. Maksudnya, maksiat hanya lahir apabila keimanan ditewaskan oleh nafsu dan kekufuran. Maka wajiblah kita sentiasa bermujahadah agar iman berdiri tegar di jiwa.

Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Apabila ia buruk, maka buruklah seluruh jasad. Maka daging itu adalah hati manusia."


Ramai orang menyatakan dia mahu berubah menjadi baik. Tetapi kemahuan itu hanya terucap di bibir saja.Sedangkan amal, tingkah lakunya, masih sama.
Dia tetap hanyut dalam dosa dan maksiat. Ada orang yang mahu berhenti minum arak, bermain judi, dan berzina. Tetapi, seluruh jasadnya, hanya tunduk pada nafsu. Maka dia berbicara, dengan nada lesu, "Saya memang mahu menjadi manusia yang soleh. Tetapi hal itu tidak terjadi kerana banyaknya halangan dan hasutan duniawi. Akhirnya, kemahuan itu mati dan terdampar sepi entah di mana."

Seorang muslim itu setiap hari berperang dengan nafsunya agar tidak terjatuh ke dalam dosa. Tuntas, hati perlu dibentengi agar ia kuat dari hasutan dosa.

Perkara yang asas ialah menguasai kesuciannya. Asal hati itu putih dan bercahaya, ia sangat sensitif terhadap makanan halal dan haram. Untuk mengekalkan kekuatan jiwa, seseorang itu wajib menjaga sumber makanannya. Antara perkara yang pernah diajarkan oleh rasulullah s.a.w. ialah menjaga kesucian makanan.

Sabda Nabi s.a.w., "Barangsiapa yang memakan makanan halal, maka bersihlah agamanya, lembutlah hatinya, dan doa-doanya tidak akan terhijab."

Nah! Hati tidak akan tumbang disebabkan pistol atau senapang,ia juga tidak mampu dirobek dengan pisau dan kapak. Tetapi, ia langsung tergeletak disebabkan makanan yang memasuki mulut anak adam. Kesilapan memilih makanan yang haram, akan menyebabkan hati buta dan tempang. Sekaligus membinasakan iman dan memancarkan rasa berahi berbuat dosa.

Mengertilah, Muslim yang menjaga kualiti iman tidak sewenang- wenangnya membeli makanan di luar. Tidak terburu-buru menyuapi makanan yang diragui ke dalam mulut. Sama ada 'fastfood' atau 'junkfood' bagi mereka sama sahaja. Sekiranya tiada jaminan kesucian, maka menjauhinya itu amat dituntut.

Hati juga akan celaru apabila pandangan mata suka memesrai aurat dan pendengaran sering dijamu umpat. Apatah lagi jika lisan menabur dusta dan anggota suka berbuat zalim. Maka, iman akan lumpuh dan hati akan berkucah dosa. Dengan itu, wajiblah seseorang memelihara punca indera daripada diresapi elemen dosa,kerana semuanya akan sampai ke hati.

Segala yang didengar, dipandang, disentuh dan dirasa, adalah makanan hati yang pasti memberi impak kepadanya. Jadi, jika yang meresapi itu dosa. Ia akan menjadi racun. Lantas ingatan hamba kepada Allah menjadi sirna, dia segera lalai dan kalis melakukan maksiat.

Maka, untuk mengubat hati daripada merasa berahi terhadap dosa memerlukan konsistensi yang tinggi, iaitu mengelak makanan haram daripada memasuki perut dan mengelak punca indera daripada menerobos batas dosa. Dari situ, hati seorang hamba akan ingatkepada Allah setiap waktu. Lisannya akan basah meratib zikrullah. Akhirnya, tidak akan tegar hati seorang hamba melakukan suatu kekejian, sekiranya dia amat meyakini bahawa Allah Maha Melihat pebuatannya. Tidak mungkin terjerumus ke kancah dosa besar bagi seorang hamba yang jiwanya dipenuhi zikrullah.



Hanya yang menzalimi istighfar, tasbih, tahmid, dan takbir setiap masa akan mampu menjauhi dosa. Jangan sampai lidah kita kelu daripada mengungkap ucapan-ucapan zikir. Kerana sekali kita lalai, maka syaitan akan bertubi-tubi membelasah hati kita dengan hasutannya. Na'uzubillah..


Monday 28 May 2012

TANGISAN BERSENDU IRAMA KEINSAFAN

......بسم الله الرحم الرحيم.....

Tangisan Allahuakhbar,
betapa kerdil kurasakan,
setiap langkah di bumi Mu,
sarat takbur berpencak-pencak,
tepu taasub menghentak-hentak,
kotornya hati ini, Ya Malik!

Tangisan Astaghfirullalazim,
tersedarku dari lamunan yang panjang,
sungguh, menggigil tatkala nama-Mu kuseru,
bergenang mutiara keinsafan di tabir mata,
sungguh, aku bungkam dalam sesal,
menghitung lembaran dosa satu persatu,
sungguh, kekesalan kian bergema di setiap sudut hati,
terimakah Dikau akan sesalanku, Ya Quddus?

Tangisan Alhamdulillah,
bibirku basah dengan Tahmid-Mu,
syukur, kalungan kasih-Mu tidak pernah Kauberura,
walau aku dalam lalai,
walau aku dalam leka, 
Benar, Engkau Paling Maha Mengasihani,
Engkau Paling Maha Menyayangi,
harapku dalam penuh kehinaan,
moga aku tidak pernah tercicir,
beroleh belaian kurnia kasih-Mu,
beroleh curahan nur-hidayah-Mu,
selagi Kaukurniakan desahan nafas buatku, Ya Wadud...

[credit to Gen-Q]




Tuesday 7 February 2012

memburu BAKI 99 RAHMAT ILAHI...


Saya mulakan makalah ini dengan lafaz, "BISMILLAHIR-RAHMANIR-RAHIM." 
Itulah lafaz 'BASMALAH', sebaik-baik kalimah pemula bicara atau tindakan. 
sebut sahaja lafaz 'BASMALAH' ini, pasti kita semua sedia maklum bahawa dalam lafaz yang ringkas ini mengandungi dua nama Allah; AL-RAHMAN dan AR-RAHIM..


Kedua-dua lafaz ini ibarat aur dengan tebing, susah untuk dipisahkan.
Di mana ada kalimah al-Rahman, disitu juga ada kalimah al-Rahim.
Ini kerana kedua-dua kalimah ini saling berkait.
Di samping kedua-dua kalimah ini diekstrak daripada kata dasar(root word) yang sama iaitu 'ra-hi-ma', kalimah ini juga mempunyai maksud yang hampir sama walau tidak serupa..


Dalam riwayat al-Tarmizi dan Abu Daud, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: 'Aku adalah al-Rahman. Aku ciptakan rahim, aku ambilkan untuknya nama yang berakar umbi daripada nama-Ku. Sesiapa yang menyambungnya (silaturrahim), aku sambung (rahmatku) baginya dan sesiapa yang memutuskannya, aku bagikan (rahmatku untuknya)."


Jika dalam konteks bahasa melayu, perkataan 'rahim' dan 'silaturrahim' yang dipinjam daripada bahasa arab ini mempunyai perkaitan dengan nama Allah..


1/100 RAHMAT
Pada hari Allah menciptakan bumi, Allah ciptakan 100 rahmat.
Disimpan di sisi-Nya 99 rahmat, manakala baki 1 rahmat diberikan kepada makhluk-Nya.
Dalam riwayat al-Bukhari, Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w., sabda Baginda yang bermaksud: "Allah mencipta rahmat dalam 100 bahagian. Dia menahan disisi-Nya 99 bahagian(rahmat) dan menurunkan ke bumi satu bahagian sahaja"..

Bayangkan semua makhluk berkongsi hanya 1 rahmat tersebut, 
itu pun sudah tidak tersambut rahmat yang melaut luas, apatah lagi bakinya yang bakal dinikmati di syurga kelak..
Dengan hanya satu rahmat sahaja pun, manusia sudah terpesona dengan dunia dan isinya, apatah lagi baki 99 rahmat...

Baki 99 rahmat inilah yang digambarkan oleh Allah s.w.t menerusi sebuah hadis kudsi dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah dilihat dan tidak terlintas di hati manusia"...

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t memiliki 100 rahmat (nikmat) satu rahmat daripadanya diturunkan-Nya dan dibahagi-bahagikan di antara jin, manusia, haiwan-haiwan besar dan kecil.
Dengan rahmat yang satu itu, semua makhluk tersebut, saling sayang menyayangi dan kasih mengasihi.
Dengan rahmat yang satu itulah, seekor keldai liar menyayangi anaknya..
Adapun rahmat yang 99 lagi disediakan Allah s.w.t. buat kehidupan di akhirat.
Dengan rahmat yang 99 itulah Allah akan mengasihi hamba-Nya pada hari kiamat"...

Perhatikan dialog antara Rasulullah s.a.w. dan sahabat ini dalam riwayat al-Bukhari:

RASULULLAH S.A.W. : "Amal seseorang tidak mampu menjamin dirinya".


SAHABAT : "Apakah termasuk engkau, wahai Rasulullah?"


RASULULLAH S.A.W. : "Ya, termasuk aku juga. Hanya rahmat Allah"


Sudah terang lagi bersuluh..


Sifat Penyayang Allah s.w.t. tidak mampu disangkal oleh sesiapa pun. 
Disenaraikan di sini, sebahagian dari bukti Pengasih dan Penyayang Allah terhadap kita sebagai hamba:


1) Allah mengutuskan para nabi dan rasul bagi membimbing umat manusia
2) Allah menyediakan panduan kepada umat manusia berupa Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
3) Rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya.
4)Allah s.w.t lebih penyayang terhadap hamba-Nya daripada ibu dan ayah terhadap anaknya.




RAHMAT MENDAHULUI KEMURKAAN-NYA...
Rasulullah s.a.w. meriwayatkan sebuah hadis qudsi yang begitu masyhur.
Sekali telinga mendengar atau sekali mata tertancap pada matan hadis ini, pasti hati akan mampu merasai kasih sayang-Nya terhadap kita sebagai hamba walau sering kali khilaf menghiasi diari harian sebagai Muslim.


Dalam riwayat al-Bukhari, daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Allah berfirman yang bermaksud: 'Rahmat Aku mendahului murka-Ku'".  

moga menjadi manfaat buat kita semua...insyaAllah..^^,

Saturday 4 February 2012

PERKONGSIAN dari SAHABAT buat SAHABAT...

Assalamualaikum..
Bismillahirrahmanirrahim....


Emm...
Semua orang duk berdiskisi pasal kahwin..
So saya nak bagi pendapat lar sket..
Sekadar pandangan, tak wajib betul, harus salah...^^,


Saya sendiri, kalau orang tanya..
Nak bina bait muslim tak?...nak..
Dah ada calon dah?..ada..
Mak ayah dah tahu?(kedua2 belah pihak)?...dah..
Dah sedia??..emm...(fikir panjang)


Persediaan melangkah ke alam yang baru sebenarnya luas..
Bukan sekadar kena tahu masak, tahu kemas rumah..
Persediaan untuk jadi 'IBU CERDIK, YANG SOLEHAH'..
Saya masih belum bersedia dari bab itu..



Satu buku yang saya baca....
Kalau tuntutan asas kita sebagai Muslim pun kita masih terkial2 nak melaksanakannya...
Itu bermakna kita masih belum bersedia nak kahwin..
Tuntutan2 asas tu antaranya solat 5 waktu dan lain2..
Tapi untuk saya dan sahabat perjuangan..tambah lagi 1 tuntutan asas..
MURAJA'AH AL-QURAN..


Saya sendiri akui...
Saya masih belum boleh istiqamah muraja'ah mengikut target saya..
Kalau hidup saya sekarang ney, yang tak sibuk ngan apa2..
Just belajar, study..mutola'ah..
Pun masih belum istiqamah capai target..
Nanti kalau dah kahwin macam mana?
Lebih2 kalau dah ada anak, macam mana??
Perkahwinan itu ada tanggungjawab...
Jadi macam mana, tanggungjawab yang sedia ada masih belum tertunai, dah tambah satu tanggungjawab baru?? ^^,


Maksud saya di sini,
Sementara kita masih lapang...
Tanggunggjawab tak terlalu banyak agy..
Kita sediakan diri kita untuk jadi ibu, bukan isteri...
Sebab seorang isteri takkan dipanggil ibu kalau tak ada anak..
Orang yang dipanggil ibu, mestilah seorang isteri kan??
Semua mesti nak cahaya mata...btul tak?? ^^,


So, sediakan diri kita nak jadi seorang ibu..
Kita cuba jadikan diri kita contoh terbaik untuk anak-anak kita nanti...
Nak jadi contoh terbaik, kita kena check balik apa kekurangan diri..
Aplikasi terbaik, kalau ada adik2 /anak saudara /sepupu yang kecik agy, kita cuba layan dia dengan perasaan keibuan..
Satu sifat keibuan yang bagi saya tak ada orang boleh tandingi, SABAR...


Next, kita gunakan peluang ney untuk muraja'ah betul2..
Kalau boleh, sebelum kita mendirikan rumah tangga..
Kita dah masyi betul2..
Tak yah tengok Quran pun kita boleh muraja'ah..
Sambil2 duk buat kerja2 rumah kita boleh baca..
Kan jimat masa tu..:D



Saya nak juga sarankan 1 perkara..
Bila dah kahwin, cakap awal2kat suami kita..
Kita ney haamilatul Quran..
Mintak tolong dia ingatkan kita supaya muraja'ah..
Terangkan kat dia apa tanggungjawab kita sebagai hamlatul Quran..
Kalau dia pun hamlatul quran, lagi best..=)
Boleh muraja'ah sama2..


Alamak!!...dah lewat ney..
Nak gi kelas pulak..
Maaf kalau terkasar bahasa...
Jom sama2 jadi IBU CERDIK YANG SOLEHAH!!!
InsyaAllah.. ^^,



Thursday 29 December 2011

jadi SOLEHAH...dapat SOLEH...insyaAllah.. :')

Manusia merancang..Allah yang tentukan..
InsyaAllah.Semoga Allah memberkati usaha kita..

Ya, aku sedang berusaha..
Kalau boleh, biar luka semalam semlam tak pernah ada..
Supaya aku tetap bersemangat ..Kan...
Tapi Allah knows best..

Alhamdulillah dan insyaAllah,,aku sedang mengejar cinta hakiki..
Tiada lagi gelisah atau rasa hati yang bukan-bukan..yang tidak-tidak..
Aku lebih tenang sekarang..
Cinta Allah yang selama ini aku anggap takkan pernah berhenti, aku abaikan..
Cinta yang aku rasakan aku sudah dapat, namun tak pernah aku tambat..
Cinta yang aku pasti tidak akan mati, yang perlu aku gapai selama-lamanya..
Kerana dari cinta itulah nanti, aku yakin dan percaya, akan ada cinta insan untukku..
Insan yang mencintai aku keranaNya..
Insan yang tidak aku kenal, kecuali kerana agama dan peribadinya..
Tidak di sini, di akhirat sana..insyaAllah...

Jika namamu yang ditulis di luh mahfuz untuk diriku,,
nescaya rasa cinta itu akan Allah tanamkan dalam diri kita...
Tugas pertamaku bukan mencari dirimu..tetapi mensolehahkan diriku...
Sukar untuk mencari soleh dirimu andai solehahku tidak setanding dengan solehmu..
Janji Allah pastiku pegang dalam misi mencari diri..
"Wanita yang baik untuk Lelaki yang baik"....
"Gembira dapat kenal nta...Terasa dekat walau hakikat terlalu jauh..Semoga Allah merahmati nta..Doaku,takkan berhenti untukmu...Walau nta takkan pernah tahu.." :')

Hmm..paling penting...tentang hati..
:')Aku sedang menjaganya..Dengan sangat berhati-hati..insyaAllah..Aku tak tahu khabar dia..
perkembangan dia..tapi...kadang-kadang hati aku ini juga tak tahan..kawan-kawan  jangan cuba jadi macam aku ya? Jaga hati tu..Jangan risau, ada jodoh Allah tetap temukan..Nak dapat cinta soleh, kene jadi solehah dulu..Nak jadi solehah, kene tambat cinta Allah dulu..
For Allah's sake,aku sibukkan diri pun sebab tak mahu pikir pasal dia.. Cukup doa sebagai penghubung..Though he would never know...
(:...Jihad itu pahit sebab syurga itu indah.Ingat tu...:)

"Wahai saudari seakidahku, ketahuilah..Untuk mendapatkan seorang lelaki soleh ialah dengan terlebih dahulu berusaha mendidik diri menjadi seorang wanita yang solehah..Pernikahan bukan sebuah cerita kayangan umpama kisah fairytales tetapi ia adalah kisah cinta realita gabungan dua hati mencari kasih dan redha Ilahi..."hehe...:)

Ingatah...
Dalam hatiku ada Dia dan dalam hatimu pun ada Dia..:)
Dia yang menjadikan hati dan Dia juga yang mewujudkan perasaan ini..
Aku PINJAM sekeping hati, hati yang bukan milikku tapi hati milik Dia... jadi biarlah cinta ini kupendam di dalam hatiku..
Dan cukuplah aku mencintaimu dalam diam dari kejauhan dengan kesederhanaan dan keikhlasan...oleh itu, carilah REDHA daripadaNya kerana di dalam keredhaan Allah, terselit cintaNya yang agung....jangan pernah jauh dari cintaNya...
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ya Allah..
Peluklah hati ini di saat ku mulai merasa gelisah, dalam penantian penuh kesabaran ini, terkadang hatiku merasa rindu pada dia, insan yang aku cintai dalam diamku...

Ya Allah..
Biarlah ku simpul dalam setiap doa-doa dalam istikharahku kepadaMu rasa ini... agar kelak Engkau satukan hatinya dan hatiku yang kan bertaut dan bersemi indah kerana RedhaMu...

Ya Allah..
Tuntunlah hati hamba agar hanya mau menerima cinta seorang insan yang benar2 pilihanMu bukan semata-mata pilihan nafsuku..

Ya Allah..
Jika dia memang baik untukku, agamaku, masa depan dunia dan akhiratku, boleh membimbing dan membawaku lebih dekat kepadaMu, maka dekatkanlah diriku dengan dirinya dan satukanlah hati kami dalam pernikahan yang sakinah, mawaddah,warrahmah...

Tapi kalau bukan dia yang terbaik, maka jangan biarkan kekagumanku menjadi suka apalagi cinta,
Engkaulah Maha membolak-balikkan hati maka kutitipkan rasa ini, kuserahkan semuanya padaMu, kerana semua ini milikMu....
Aamiin ya Rabbal' alamin...

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh...

Calon suamiku..

Tangan ini mula merungkap kata-kata yang tidak dapat kuluahkan sebelum ini..
Entah di mana dirimu sekarang..
Sedang aku menantimu disini untuk melengkapkan semula sebahagian dirimu yang hilang..

Calon suamiku..

Maafkanlah andai diriku tidak secantik Balqis
Tidak sesetia saidatina Aishah..
Tidak cukup solehahku seteguh rabiatul Adawiyah..
Jika kecantikan yang engkau cari,
hanya kehampaan yang dapat ku beri...
Sungguh..
Bukanlah harta ataupun rupa menjadi ukuran..
Biarlah agama, yang menjadi tali ikatan antara kita..

Maka aku sedang mempersiapkan diri
Agar menjadi suri hatimu yang solehah..
namun calon suamiku,
Aku berharap agar engkau bersedia menerimaku
dan membimbingku..
Kerana engkau tahu, "akal wanita senipis bilahan rambut"...
Dan aku berharap engkau akan sentiasa di sisi menemaniku memperkukuhkan imanku...

Kerana aku takut,
Sekiranya hatiku ini penuh dengan dosa,
Lalu aku dicampakkan ke neraka kelak akan khilafku,
Dan meninggalkanmu seorang diri di syurga yang abadi..
Bimbinglah aku agar aku dapat menemanimu
Dan menjadi satu-satunya bidadari yang mendampingmu di akhirat sana...
Calon suamiku yang dirahmati..

Tika pertemuan kita yang pertama nanti..
Moga engkau bersedia menerima hakikat
Bahawa akulah tulang rusukmu yang hilang..
Moga engkau bersedia menerimaku sebagai amanahmu..
yang Tuhan ciptakan khas untukmu para kaum Adam..

Seandainya namaku telah tertulis di luh mahfuz untuk dirimu,
Aku berharap engkau menjemputku sebagai mujahid setia,
Yang utuh imannya
Kerana aku memerlukanmu untuk membentukku kelak..
Agar aku menjadi permaisuri hatimu yang solehah...
Yang mampu membanggakanmu kerana memiliki diriku suatu hari nanti...

Wahai bakal teman hidupku,

Dalam solatku,
Saban hari aku sampaikan doaku untukmu,
Agar nafsumu dipelihara Allah..supaya engkau tidak menyentuh yang haram bagimu..
Agar engkau tidak mencurahkan rasa kasihmu kepada wanita lain
Selain aku di hatimu..

Namun, jika engkau mencintai Allah dan Rasulullah melebihi diriku,
Aku relakan dengan sepenuh hati..
Kerana itulah yang aku harapkan daripadamu
Mencintai Pencipta, yang telah melakar namaku dan namamu di Luh MahfuzNya
sehingga kita disatukan
dengan ikatan yang sah..

Semoga Allah melindungimu dan memudahkan jalanmu
Untuk menjemputku sebagai bidadarimu
Kerana aku bersedia menyambut kehadiranmu sebagai penyeri hidupku..
semoga aku mempersembahkan diriku..
sebagai wanita solehah di matamu..
Meski aku tahu, aku bukanlah hambaNya yang terbaik..
Tetapi..biarlah aku menjadi satu-satunya permata yang terbaik di sisimu
Menjadi permata yang engkau cari selama ini...
   
Calon suamiku..
Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini..Andai diizinkan aku akan kembali menitipkan lagi kiriman bertintakan hati ini..Akhirnya, aku mohon maaf, biarlah rindu ini ditumpahkan dalam tinta daripada jemu tatkala kita disatukan..Semoga hidup kita diberkati..

Salam sayang,
Bakal isterimu...
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mencari yang solehah memanglah sukar sebab menilainya sama seperti meneropong ke dalam hati seseorang.... 
Kata orang yang menutup aurat pun belum tentu solehah... kata orang 'kulit' yang baik belum tentu isinya elok.. 

Jadi...jalan penyelesaiannya cukup mudah..tidak payah bersusah payah meneropong atau mengukur iman dan taqwa orang lain...
caranya ialah "jadikan diri kita dahulu calon isteri / wanita yang solehah" (bagi saya yang perempuan ini...dan begitu juga sebaliknya untuk awak...;p)

Kenal pasti dahulu ciri-ciri wanita solehah kemudian bina ciri itu dalam diri sendiri terlebih dahulu...(insyaAllah...)
Muhasabah pula soal hati, soal dalaman....muhasabah iman dan taqwa kita...
bisik ke dalam hati...apakah aku layak menjadi solehah atau sedang berusaha menjadi yang solehah??

Jadi...ubahlah diri untuk merubah orang lain...
Jika kita menjadi solehah maka yang soleh akan muncul dengan sendirinya... 
Jadilah solehah bukan carilah yang soleh..
Yakinlah dengan janji Allah melalui firmanNya... "...dan wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang baik..."(An-Nur :26)

Ya Allah..mampukah aku menjadi wanita solehah??
mati dalam keunggulan iman, bersinar indah harum tersebar, bagai wanginya pusara Masyitah...

AKU INGIN MENJADI WANITA SOLEHAH..!!!!....insyaAllah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...