"Tiap-tiap jiwa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan di dunia itu hanyalah kesenangan yang memperdayakan"...(Ali-Imran:185)

اللهم اخثم لنا بحسن الخاثمة ولا ثخثم علينا بسوء الخاثمة

"Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah(akhir yang baik), dan janganlah Kau akhiri kami dengan suu-ul khatimah(akhir yang buruk)"

Tuesday, 18 September 2012

MENGUASAI SEMPADAN HATI DENGAN ZIKRULLAH

Doa itu adalah zikrullah. Memuliakan sesuatu tanpa memohon izin tuhan sekalian alam bererti kita ini makhluk yang sombong dan bongkak.


Bagaimana tangan mampu dihulurkan jika hatinya enggan menyambut?
Bagaimana kaki boleh berjalan jika hati hanya mahu duduk?
Bagaimana mulut akan berdiam jika jiwanya mahu bertutur?

Tidak mungkin semuanya berlaku jika hati tidak menginginkan ia terjadi..
Kerana hati itu adalah raja bagi seluruh anggota. Justeru, bagaimana mungkin seorang hamba memperturutkan nafsu dan berbuat maksiat jika hatinya ada Allah s.w.t??

Tidak terhasil cinta jika benci dan sayang berantakan di dada. Tidak terbit suatu amalan jitu selagi keyakinan dan keraguan bertingkah di jiwa. Sehinggalah salah satunya memenangi pertempuran. Ketika itu, lahirlah apa yang menguasai jiwanya. Maksudnya, maksiat hanya lahir apabila keimanan ditewaskan oleh nafsu dan kekufuran. Maka wajiblah kita sentiasa bermujahadah agar iman berdiri tegar di jiwa.

Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Apabila ia buruk, maka buruklah seluruh jasad. Maka daging itu adalah hati manusia."


Ramai orang menyatakan dia mahu berubah menjadi baik. Tetapi kemahuan itu hanya terucap di bibir saja.Sedangkan amal, tingkah lakunya, masih sama.
Dia tetap hanyut dalam dosa dan maksiat. Ada orang yang mahu berhenti minum arak, bermain judi, dan berzina. Tetapi, seluruh jasadnya, hanya tunduk pada nafsu. Maka dia berbicara, dengan nada lesu, "Saya memang mahu menjadi manusia yang soleh. Tetapi hal itu tidak terjadi kerana banyaknya halangan dan hasutan duniawi. Akhirnya, kemahuan itu mati dan terdampar sepi entah di mana."

Seorang muslim itu setiap hari berperang dengan nafsunya agar tidak terjatuh ke dalam dosa. Tuntas, hati perlu dibentengi agar ia kuat dari hasutan dosa.

Perkara yang asas ialah menguasai kesuciannya. Asal hati itu putih dan bercahaya, ia sangat sensitif terhadap makanan halal dan haram. Untuk mengekalkan kekuatan jiwa, seseorang itu wajib menjaga sumber makanannya. Antara perkara yang pernah diajarkan oleh rasulullah s.a.w. ialah menjaga kesucian makanan.

Sabda Nabi s.a.w., "Barangsiapa yang memakan makanan halal, maka bersihlah agamanya, lembutlah hatinya, dan doa-doanya tidak akan terhijab."

Nah! Hati tidak akan tumbang disebabkan pistol atau senapang,ia juga tidak mampu dirobek dengan pisau dan kapak. Tetapi, ia langsung tergeletak disebabkan makanan yang memasuki mulut anak adam. Kesilapan memilih makanan yang haram, akan menyebabkan hati buta dan tempang. Sekaligus membinasakan iman dan memancarkan rasa berahi berbuat dosa.

Mengertilah, Muslim yang menjaga kualiti iman tidak sewenang- wenangnya membeli makanan di luar. Tidak terburu-buru menyuapi makanan yang diragui ke dalam mulut. Sama ada 'fastfood' atau 'junkfood' bagi mereka sama sahaja. Sekiranya tiada jaminan kesucian, maka menjauhinya itu amat dituntut.

Hati juga akan celaru apabila pandangan mata suka memesrai aurat dan pendengaran sering dijamu umpat. Apatah lagi jika lisan menabur dusta dan anggota suka berbuat zalim. Maka, iman akan lumpuh dan hati akan berkucah dosa. Dengan itu, wajiblah seseorang memelihara punca indera daripada diresapi elemen dosa,kerana semuanya akan sampai ke hati.

Segala yang didengar, dipandang, disentuh dan dirasa, adalah makanan hati yang pasti memberi impak kepadanya. Jadi, jika yang meresapi itu dosa. Ia akan menjadi racun. Lantas ingatan hamba kepada Allah menjadi sirna, dia segera lalai dan kalis melakukan maksiat.

Maka, untuk mengubat hati daripada merasa berahi terhadap dosa memerlukan konsistensi yang tinggi, iaitu mengelak makanan haram daripada memasuki perut dan mengelak punca indera daripada menerobos batas dosa. Dari situ, hati seorang hamba akan ingatkepada Allah setiap waktu. Lisannya akan basah meratib zikrullah. Akhirnya, tidak akan tegar hati seorang hamba melakukan suatu kekejian, sekiranya dia amat meyakini bahawa Allah Maha Melihat pebuatannya. Tidak mungkin terjerumus ke kancah dosa besar bagi seorang hamba yang jiwanya dipenuhi zikrullah.



Hanya yang menzalimi istighfar, tasbih, tahmid, dan takbir setiap masa akan mampu menjauhi dosa. Jangan sampai lidah kita kelu daripada mengungkap ucapan-ucapan zikir. Kerana sekali kita lalai, maka syaitan akan bertubi-tubi membelasah hati kita dengan hasutannya. Na'uzubillah..


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...